Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Bersatu yakin ‘pengundi putih’ keluar tunai tanggungjawab - Hanifah

Hanifah Baker calon Bersatu Labu
Hanifah kekal optimis penyokong setia Bersatu atau ‘pengundi putih’ berjaya keluar mengundi seperti yang disasarkan, sekali gus memberi keyakinan untuk merebut 24 kerusi ditandingi. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

LABU: Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker berpandangan, kadar keluar mengundi yang tinggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 tidak semestinya memberi kelebihan kepada calon.

Menurut Hanifah, beliau kekal optimis penyokong setia Bersatu atau ‘pengundi putih’ berjaya keluar mengundi seperti yang disasarkan, sekali gus memberi keyakinan untuk merebut 24 kerusi ditandingi.

“Saya dah pusing ke hampir semua pusat daerah mengundi dalam DUN Labu, sehingga pukul 1 petang saya lihat tadi, kadar keluar mengundi agak memberangsangkan, hampir 50 hingga 60 peratus.

“Tadi saya lihat di saluran tiga Sekolah Kebangsaan Desa Cempaka ini, sudah cecah hampir 60 peratus, kita pun ada masa lebih kurang tiga jam lagi.

“Kepada calon kami itu mungkin perkara yang tidak berapa bagus, tetapi Bersatu optimis ‘pengundi putih’ kami sudah keluar menjalankan tanggungjawab seperti kita mahukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi, di sini, pada Sabtu.

Mengulas peluang Bersatu pada PRN kali ini, beliau berkata, parti itu masih yakin mampu mengekalkan kerusi DUN Labu selain berpotensi memberi saingan sengit di beberapa kawasan lain.

“Tidak mustahil kami akan buat kejutan hari ini, tetapi akhirnya kami akan tunggu keputusan pada jam 6 petang.

“Sekiranya kami berada dalam kedudukan untuk menjadi ‘kingmaker’, keputusan itu kita akan serahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi.

“Apa saja keputusan yang kami buat adalah untuk kepentingan parti. Dah tentu, seperti semua sedia maklum sebelum ini, Bersatu kekal dengan pendirian bahawa kita ‘No Pakatan Harapan, No DAP.’

“Itu yang kami buktikan ketika berlaku krisis di Negeri Sembilan dengan memberi surat akuan berkanun (SD) kepada UMNO. Kami tidak memberi kepada PH.

“Apa saja keputusan, sekiranya kami boleh menjadi kingmaker atau penentu, keputusan parti kami akan ikut saja,” jelasnya.

Setakat jam 3 petang, peratusan keluar mengundi berada pada 59.03 peratus, iaitu seramai 507,536 pengundi daripada keseluruhan 859,760 pengundi berdaftar di Negeri Sembilan. 

Must Watch Video

Advertisement