Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: BN mungkin tidak kekalkan pendekatan 'kerusi tradisi' - Mohamad

51768638101_TBMohamadHasan.jpg
Mohamad (foto) berkata langkah itu berikutan komposisi pengundi di kebanyakan kawasan yang banyak berubah ketika ini. -Gambar fail
Advertisement

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) berkemungkinan membuat perubahan untuk tidak mengekalkan “kerusi tradisi” dalam pembahagian kawasan yang ditandingi parti itu, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Negeri Sembilan.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu, berikutan komposisi pengundi di kebanyakan kawasan yang banyak berubah ketika ini.

“Kita mahu melihat semula dan kalau boleh, kita nak ubah suai supaya bagi peluang pula untuk parti dalam kumpulan komponen BN itu, untuk bertanding di kawasan yang rasa dia boleh menang. Kalau dibandingkan dengan cara tradisi dulu, contohnya kerusi 1, 2, 3, 4, ini kau punya.

“Jadi, ia tidak memberi ruang dan juga tidak memberi pengundi peluang untuk mereka memilih. Itu pandangan saya selaku Pengerusi BN Negeri Sembilan, buat pertukaran kerusi ke, seat swap ke, kerana kita mesti bagi peluang kepada pengundi.

“Kalau bertambah merosot, mengapa kita nak bagi kepada parti yang sama bertanding di tempat yang sama? Boleh jadi kita tukar kerusi tapi kita cuba accommodate sebanyak mungkin kepada semua rakan dalam komponen BN,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau, di sini hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata keputusan pilihan raya sebelum ini, akan dijadikan panduan dalam menilai corak sokongan pengundi serta perubahan demografi di setiap kawasan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang keputusan muktamad berhubung pengagihan kerusi dan senarai calon komponen termasuk Friends of BN, tertakluk kepada keputusan Dewan Tertinggi BN peringkat pusat.

Mohamad berkata semua ketua bahagian diarah mengemukakan senarai calon masing-masing mengikut prosedur yang ditetapkan dengan sekurang-kurangnya tiga calon bagi setiap kerusi.

“Kita akan buat segeralah kerana kita nak umumkan nama calon pada 15 Julai ini semasa kita melancarkan jentera pilihan raya BN, kita tak banyak masa lagi,” katanya.

Mohamad berkata BN tidak boleh berdepan sebarang pertelingkahan dalaman menjelang pilihan raya, kerana pengalaman lepas menunjukkan beberapa kerusi tewas akibat sabotaj dalam kalangan ahli sendiri.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004, namun berkata perkara itu bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala penamaan calon pada 18 Julai dan 28 Julai ditetapkan untuk pengundian awal.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement