JELEBU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yakin peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini mampu mencapai antara 70 hingga 75 peratus berdasarkan perkembangan semasa yang menunjukkan sambutan menggalakkan daripada pengundi.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, jumlah pengundi yang keluar mengundi dijangka terus meningkat sepanjang hari.
“Walaupun ini adalah merupakan PRN, Pilihan Raya Negeri, tapi saya yakin jumlah peratusan kita pada hari ini akan bertambah dan kita harap supaya seperti PRN yang lepas-lepas tidak kurang daripada 70 ke 75 peratus.
“Tetapi berdasarkan kepada perkembangan terkini, saya yakin jumlah pengundi yang akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari ini akan bertambah kerana mereka tidak akan terkecuali untuk tidak melibatkan diri dalam menentukan sejarah pentadbiran negeri bermula pada hari besok.
“Insya-Allah ini adalah merupakan sejarah baharu bagi Kerajaan Negeri Sembilan untuk masa depan negeri, masa depan rakyat terutamanya dalam soal yang berkaitan dengan kestabilan dan kemakmuran negeri,” katanya ketika ditemui media selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Putra, Simpang Durian, di sini, hari ini.
Jalaluddin berkata proses pengundian setakat ini berjalan lancar dengan kehadiran pengundi seawal jam 8 pagi menunjukkan peningkatan, terutama melibatkan pengundi Saluran 1 di sekolah berkenaan.
Menurutnya, jumlah pengundi daripada Saluran 2 dan Saluran 3 dijangka terus bertambah apabila hari semakin lewat.
Beliau turut menyeru semua pengundi di 36 DUN di Negeri Sembilan supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
PRN kali ini menyaksikan Jalaluddin dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Umry Abdul Khois dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Faizal Fadli Mohd. Idrus.
Sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran dibuka serentak bermula 8 pagi, membolehkan 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan menentukan kerajaan negeri untuk penggal akan datang.