Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Jangan khianati parti jika tidak dipilih sebagai calon - Aminuddin

SEREMBAN, 12 Jun -- Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) berbincang dengan Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan di Karisma Arena Seremban, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar (kiri) berbincang dengan Aminuddin pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan di Karisma Arena Seremban, pada Jumaat. - Gambar Bernama

SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengingatkan pemimpin dan jentera gabungan itu supaya tidak mengkhianati parti sekiranya mereka tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan berkata semua pihak perlu menerima keputusan parti dan terus bekerja demi memastikan kemenangan PH di negeri ini.

"Kepada semua ahli parti dan jentera, saya mohon apa jua nama calon dan dipilih oleh pimpinan kita jangan khianati mereka, teruskanlah menyokong... inilah perjuangan hidup dan mati," katanya ketika berucap pada program Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH di sini malam Jumaat.

Menteri Besar itu berkata perkara tersebut penting kerana beliau tidak mahu mendengar isu berkaitan “calon atau tidak calon” timbul di mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menyeru agar semua pihak memberi sokongan sepenuhnya pada pilihan raya itu.

Turut hadir Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan tertinggi pemimpin yang lain termasuk Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Aminuddin turut meminta semua pengundi yang tinggal di luar Negeri Sembilan untuk pulang menjalankan tanggungjawab mengundi di DUN masing-masing.

"Balik la mengundi, yang duduk di luar sana tolong balik… kalau boleh kita mahu 80 peratus keluar mengundi, bukan hanya 70 peratus sahaja. Inilah ruang, peluang dan masa kita untuk laksanakan tanggungjawab dengan keluar mengundi," katanya.

DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, tarikh penamaan calon adalah pada 18 Julai, manakala 28 Julai ditetapkan bagi pengundian awal.

PRN Negeri Sembilan 2023 menyaksikan PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 31 daripada 36 kerusi.

PH memenangi 17 kerusi dan BN memperoleh 14 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi.

Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN selepas Johor berbuat demikian pada 1 Jun.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement