Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Kepimpinan UMNO dengar aspirasi pengundi Melayu mahu penyatuan - Bastien

 Bastien Onn, PRN Negeri Sembilan
Bastien mengadakan walkabout di Taman Anggerik, Pajam, Seremban hari ini bagi membantu kempen sempena PRN Negeri Sembilan - Foto/ UMNO Segamat
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kepimpinan tertinggi UMNO disifatkan telah mendengar aspirasi pengundi Melayu yang mahu melihat penyatuan politik demi mengelakkan perpecahan, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn.

Beliau berkata kesepakatan yang terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mencerminkan usaha memenuhi kehendak sebahagian besar pengundi Melayu yang menginginkan kerjasama antara parti-parti Melayu.

"Saya percaya kepimpinan tertinggi parti mendengar kehendak dan impian pengundi Melayu yang mahukan kita kembali bersatu dan tidak berpecah-belah," katanya dalam kenyataan selepas mengadakan walkabout di Taman Anggerik, Pajam, Seremban hari ini.

Bastien berkata beliau menghargai keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi parti yang mengambil kira hasrat rakyat untuk melihat penyatuan orang Melayu.

"Apabila orang Melayu kuat dan bersatu, barulah kita berupaya melindungi kepentingan semua kaum termasuk golongan minoriti," tambahnya.

Beliau bagaimanapun berkata kerjasama BN dan PN masih berada pada peringkat awal dan akan berdepan pelbagai ujian selepas PRN Negeri Sembilan, termasuk menjelang PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, kerjasama politik antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sesuatu yang baharu kerana parti-parti itu pernah bergabung menerusi Muafakat Nasional dan membentuk kerajaan sebelum ini.

Mengenai pertembungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai pula, Bastien yakin calon BN, Alan Lai Chien Kong akan memberi saingan kepada penyandang tiga penggal, J. Arul Kumar daripada Pakatan Harapan-DAP.

Beliau juga optimis pengundi Cina akan memberikan sokongan kepada calon MCA itu, seperti yang berlaku pada beberapa PRN sebelum ini termasuk di Sabah dan Johor.

Selain itu, beliau berkata maklum balas yang diterima daripada pengundi menunjukkan masih terdapat rasa tidak puas hati terhadap pelbagai isu tempatan yang belum dapat diselesaikan, sekali gus menyifatkan wujudnya kemungkinan berlaku perubahan sokongan pada PRN kali ini.

Dalam PRN Negeri Sembilan, BN bertanding di 25 kerusi manakala PN yang diwakili Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) bertanding di 11 kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

Must Watch Video

Advertisement