Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Kerusi DUN di Jelebu kritikal tentukan pembentukan kerajaan negeri - Anthony Loke

JELEBU, 18 Julai -- Calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah Anthony Loke (dua, kiri), DUN Pertang Mohd Umry Abdul Khois (kanan), DUN Sungai Lui Zainal Fikri Abd Kadir (kiri) dan DUN Klawang Bakri Sawir (dua, kanan) ketika sidang media bersama selepas proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pusat Penamaan Calon Dewan Besar Kuala Klawang Jelebu hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anthony Loke berkata, pada PRN 2018, kemenangan kerusi DUN Chennah dan Klawang menjadi antara penyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri diterajui PH. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA KLAWANG: Kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jelebu disifatkan sebagai penyumbang penting kepada pembentukan kerajaan negeri sekiranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Penyandang DUN Chennah, Anthony Loke berkata, ia terbukti pada PRN 2018, apabila kemenangan kerusi DUN Chennah dan Klawang menjadi antara penyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri diterajui PH.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi terus memberikan sokongan kepada semua calon PH di empat DUN dalam Parlimen Jelebu bagi membolehkan gabungan itu sekali lagi membentuk kerajaan negeri.

“Kalau kita nak sekali lagi dapat membentuk kerajaan negeri secara bersendirian... sudah tentu kerusi-kerusi di Parlimen Jelebu ini adalah penyumbang yang kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai proses penamaan calon PRN Negeri Sembilan di Dewan Besar Kuala Klawang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anthony berkata beliau bersedia menghadapi cabaran pada PRN kali ini dengan menumpukan kempen berdasarkan rekod prestasi dan hasil kerja yang telah dilaksanakan di kawasan itu.

“Kerajaan Pakatan Harapan yang ditubuhkan di Negeri Sembilan sejak 2018 telah membuktikan bahawa kita mampu membawa kemajuan dan kestabilan kepada negeri.

“Justeru, kita berharap dapat terus diberikan mandat oleh rakyat,” ujar Anthony.

Anthony bakal berdepan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, John Siow Kong Choon dalam saingan satu lawan satu.

Selain Chennah dan Klawang, Parlimen Jelebu mempunyai dua lagi kawasan DUN iaitu Sungai Lui dan Pertang.

Topic Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement