PORT DICKSON: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan manifesto BN akan kekal menjadi panduan utama sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan Negeri Sembilan bersama Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, BN dan PN tidak mempunyai perjanjian atau kerjasama rasmi, sebaliknya hanya berlandaskan persefahaman politik.
Menurutnya, manifesto BN akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat oleh rakyat, manakala perkara yang terkandung dalam manifesto rakan kerjasama akan dipertimbangkan serta diselaraskan mengikut kesesuaian.
“ Ya.. kita tidak ada perjanjian, kita tidak ada kerjasama secara rasmi, kita cuma ada persefahaman. Ertinya manifesto BN adalah untuk BN dan kita akan laksanakan jika mandat dapat diberikan semula nanti.
“Dan tentunya kita akan rangkul sekali apa yang tersurat dan tersirat daripada rakan-rakan yang lain.
“Dan saya fikir tidak ada sebarang permasalahan yang timbul jika pelaksanaannya dibuat kerana kita mencakupi semua lapisan masyarakat di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui media selepas Ceramah Umum BN Dun Chuah, di sini, pada Rabu.
Pada masa sama, beliau menyifatkan hubungan BN dan PN sebagai satu kerjasama yang saling melengkapi, malah yakin kedua-dua pihak mampu bergerak seiring tanpa perbezaan yang menjejaskan pentadbiran.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan manifesto mana akan digunakan sekiranya BN dan PN membentuk kerajaan negeri selepas Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
Ketika berkempen di Linggi pada Selasa, Muhyiddin mempersoalkan bagaimana dua manifesto berasingan boleh dilaksanakan secara serentak, sambil menyifatkan keadaan itu boleh menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti kerjasama antara kedua-dua gabungan.