SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) menegaskan manifesto yang dilancarkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bukan sekadar tawaran pilihan raya, sebaliknya dirangka berdasarkan rekod pencapaian kerajaan negeri sepanjang lapan tahun mentadbir.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keutamaan PH adalah memastikan setiap komitmen yang ditawarkan kepada rakyat dapat dilaksanakan dan bukannya sekadar menjadi janji.
“Bagi saya yang paling penting manifesto ini mampu dilaksanakan, bukan hanya janji. Kita tak perlu berjanji, tetapi perlaksanaan adalah yang kita utamakan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, PH mempunyai rekod pencapaian yang membuktikan sebahagian besar manifesto sebelum ini berjaya ditunaikan sejak mentadbir negeri pada tahun 2018.
Menurutnya, antara janji yang tidak dapat direalisasikan ialah cadangan mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal kerana pindaan itu tidak mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Rakyat inginkan sebuah manifesto yang boleh dilaksanakan dan saya yakin kami mampu laksanakan. Kita ada track record kita. Kita lapan tahun memerintah, kita rasa kita boleh laksanakan apa yang kita janjikan kepada rakyat,” katanya.
Manifesto PH Negeri Sembilan menggariskan 10 komitmen utama, antaranya mengekalkan kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat, memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR), mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, menyediakan 20,000 rumah mampu milik, memperkukuh pendidikan, serta memberi keutamaan kepada belia, wanita dan institusi keluarga.
Manifesto itu turut menjanjikan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi bersama Kerajaan Persekutuan termasuk merealisasikan Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, Landasan Bypass Senawang–Port Klang, Hospital Bandar Enstek, Seremban Sentral serta meningkatkan kekerapan perkhidmatan komuter antara Seremban dan Kuala Lumpur.
Aminuddin berkata, semua tawaran tersebut dirangka bagi memastikan rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan secara langsung, selain meneruskan momentum pertumbuhan ekonomi dan pelaburan yang dicapai Negeri Sembilan sejak lapan tahun lalu.