Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Mohamad Hasan selesai tanggungjawab mengundi di Rantau

Sumber: Astro AWANI
Mohamad berharap kadar keluar mengundi di DUN Rantau mampu mencapai antara 70 hingga 75 peratus. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

RANTAU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di S.R.J.K (C) Chung Hua, sekitar jam 8.50 pagi pada Sabtu.

Turut bersama beliau adalah isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin dan empat orang anak yang hadir membuang undi di sekolah sama.

Menurut Mohamad Hasan, proses pengundian di pusat mengundi berkenaan berjalan dengan teratur dan lancar setakat awal pagi hari pengundian.

“Perjalanan pembuangan undi di sini nampak teratur... Alhamdulillah ramai yang telah datang pagi-pagi.

“Saya harap semua pengundi di dalam DUN Rantau segera untuk menjalankan tanggungjawab membuang undi, kerana sebelah petang diramalkan akan ada hujan.

“Jadi, elok kalau kita boleh segera keluar menjalankan tanggungjawab kita, supaya proses mengundi berjalan lancar, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Mohamad turut berharap kadar keluar mengundi di DUN Rantau mampu mencapai antara 70 hingga 75 peratus yang disifatkan sebagai satu pencapaian baik berdasarkan corak pengundian di kawasan itu sebelum ini.

“Saya harap peratusan itu tinggi, kerana menjadi tanggungjawab warga Malaysia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara membuang undi.

“Ramai pengundi Rantau yang mendaftar tidak lagi duduk di sini. Ramai yang dah bertukar tempat tinggal, tetapi tak pernah tukar alamat. Kita cuba hubungi pengundi-pengundi ini, namun ramai tak dapat dihubungi lagi,” ujarnya.

Katanya lagi, apa yang lebih penting ialah proses pengundian berjalan dengan aman, teratur dan lancar, sekali gus membolehkan setiap pengundi menunaikan hak demokrasi mereka tanpa sebarang gangguan.

Sebagai rekod, DUN Rantau menyaksikan saingan satu lawan satu antara Mohamad Hasan dan calon Pakatan Harapan, Dr Azizul Hakim Mahdi.

Sebagai rekod, DUN Rantau mempunyai seramai 34,831 pengundi, daripada jumlah itu 17,392 pengundi perempuan dan 17,439 pengundi lelaki.
 

Must Watch Video

Advertisement