REMBAU: Tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang sedang berjalan diharap berlangsung dalam suasana matang, berhemah dan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Seorang pesara polis, Malek Ibrahim, 77, berkata semua calon yang bertanding perlu mengelakkan budaya menyerang atau memburukkan pihak lawan sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, kempen seharusnya menjadi medan untuk calon memperkenalkan idea, rekod perkhidmatan serta perancangan kepada pengundi, bukannya mencetuskan provokasi.
“Sepanjang kempen ini, saya harap biarlah calon berkempen dengan cara berhemah, tidak ada provokasi apa-apa. Biarlah cakap dengan sopan dan bersantun.
“Tak perlu burukkan orang sana atau mengata orang sini kerana rakyat sekarang sudah cerdik dan tahu membuat penilaian sendiri,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Senada dengan pandangan itu, Imam Masjid Kampung Pedas Tengah, Mohd Firdaus Nordin, 35, turut berharap semua calon dapat menunjukkan kematangan sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, persaingan politik perlu berlangsung dalam suasana yang sihat dengan menghormati pihak lawan, tanpa memburukkan mana-mana pihak.
“Kita harap semua calon berkempen dengan matang. Janganlah memburukkan mana-mana pihak dan berkempenlah dengan cara yang baik dan tunjukkan apa yang boleh diberikan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Siti Hawa Yahya, 56, berharap mana-mana pihak yang diberi mandat selepas pilihan raya dapat memberi perhatian khususnya terhadap isu kos sara hidup yang terus menjadi cabaran kepada rakyat.
Katanya, kenaikan harga barangan bukan sahaja membebankan pengguna, malah turut memberi kesan kepada peniaga yang berdepan peningkatan kos mendapatkan bekalan.
“Harapan kita supaya negara lebih maju dan rakyat tidak terlalu terbeban dengan kos hidup.
“Sebagai peniaga, kadang-kadang susah juga sebab kita beli barang mahal. Bila kita jual mahal, orang marah, itulah cabaran ekonomi yang kita kena lalui,” katanya.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, selain mengharapkan kempen berlangsung secara harmoni, pengundi turut mahu calon memberi penekanan kepada penyelesaian isu ekonomi serta kebajikan rakyat berbanding polemik politik sepanjang tempoh berkempen.
Seramai 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PRN Negeri Sembilan ke-16 selepas proses penamaan calon semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 18 Julai sebagai hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan, manakala pengundian dijadual berlangsung 1 Ogos.