SEREMBAN: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai keserasian.
Menurut Pengerusi BN itu, persepsi berkenaan merupakan lontaran oleh pihak yang tidak senang melihat wujudnya persefahaman antara kedua-dua gabungan.
Katanya lagi, dakwaan yang dimainkan di media sosial tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan menjelang hari kemuncak Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos.
“Itu lontaran yang dibuat oleh orang yang tidak suka adanya persefahaman ini. Kita lihatlah nanti pada satu hari bulan, mudah-mudahan telahan dan bacaan mereka itu salah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET Mara Negeri Sembilan, di sini, pada Rabu.
Mengulas dakwaan tular mengenai pemberian wang sogokan kepada pengundi, Ahmad Zahid berkata perkara itu perlu disiasat pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti dan saksi yang memadai.
“Jika didapati benar dan jika ada bukti dan saksi, saya serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR dan juga pihak polis untuk melakukan siasatan.
“Saya tidak fikir perkara itu sepatutnya berlaku, dan apatah lagi jika ianya dilakukan oleh pihak yang berwibawa, maka kita harus menolak amalan itu,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, beliau bersama jentera BN serta UMNO di peringkat pusat, negeri dan tempatan akan terus mempergiatkan gerak kerja kempen sehingga hari pengundian.
Beliau turut mengulangi pendirian bahawa BN masih menganggap dirinya sebagai ‘underdog’ dalam PRN Negeri Sembilan, namun berharap gabungan itu diberi mandat untuk mentadbir negeri.