Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Proses penamaan lancar, penyokong sangat tertib - PDRM

Ketua Polis Negegi Sembilan/ Datuk Alzafny Ahmad  Tag: PRN N.Sembilan  Credit: Astro Awani / Firdaus Mohari
Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil pemantauan serta maklum balas daripada semua Ketua Polis Daerah yang bertindak sebagai komander lapangan mendapati keadaan di setiap pusat penamaan calon berjaya dikawal dengan baik. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

PORT DICKSON: Proses penamaan calon bagi Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16) yang berlangsung di lapan pusat penamaan calon di seluruh negeri berjalan lancar, aman dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil pemantauan serta maklum balas daripada semua Ketua Polis Daerah yang bertindak sebagai komander lapangan mendapati keadaan di setiap pusat penamaan calon berjaya dikawal dengan baik.

Beliau berkata, penyokong parti politik turut mematuhi segala arahan dan nasihat yang diberikan oleh pihak polis sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

“Jadi kita dapati bahawa keadaan di lapan pusat penamaan calon telah berjaya dikawal dan semua penyokong parti telah mengikut arahan dan juga nasihat daripada pihak polis.

“Daripada awal pagi sehingga kira-kira jam 11.45 pagi, keadaan di setiap pusat penamaan calon adalah tenang dan terkawal,” katanya.

Alzafny berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Penamaan Calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, bagi memastikan kelancaran proses itu, seramai 2,373 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan digerakkan untuk bertugas di kesemua lapan pusat penamaan calon.

Menurutnya, penugasan itu merangkumi kawalan keselamatan di dalam dan luar kawasan pusat penamaan calon, selain kawalan lalu lintas bagi memastikan tiada sebarang kekecohan atau kesesakan berlaku.

“Kita (PDRM) dapati bahawa keadaan lalu lintas dan juga keadaan penyokong-penyokong parti kesemuanya selamat dan difahamkan bahawa penyokong-penyokong di setiap pusat penamaan calon beredar sebaik sahaja Pegawai Pengurus (RO) mengumumkan (senarai) calon-calon yang bertanding.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya penyokong-penyokong parti yang begitu tertib, begitu harmoni dan mematuhi segala peraturan-peraturan dan arahan-arahan yang telah ditetapkan,” tambahnya lagi.

Must Watch Video

Advertisement