Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Rakyat diseru pilih kerajaan stabil, tolak politik percaturan kuasa - Aminuddin

PRN N9
Aminuddin menyeru rakyat Negeri Sembilan membuat pilihan berdasarkan kestabilan dan rekod pentadbiran, bukannya kembali kepada politik yang berasaskan percaturan kuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru rakyat membuat pilihan berdasarkan kestabilan dan rekod pentadbiran, bukannya kembali kepada politik yang berasaskan percaturan kuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 akan datang.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, pilihan raya bukan sekadar memilih parti yang membentuk kerajaan, sebaliknya penentu arah tuju masa depan Negeri Sembilan.

“Sama ada kita mahu terus bergerak ke hadapan dengan sebuah kerajaan yang stabil, berprinsip dan diyakini.. atau kita kembali kepada sebuah politik yang sentiasa berubah mengikut percaturan kuasa,” katanya ketika berucap melancarkan Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.

Menurut Aminuddin, sepanjang lapan tahun mentadbir negeri itu, kerajaan diterajui Pakatan Harapan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan ekonomi, memperbaiki pentadbiran, memperluas kebajikan rakyat dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada golongan muda.

Beliau berkata, rekod pentadbiran itu membuktikan kerajaan yang stabil dan berintegriti mampu menghasilkan perubahan nyata kepada negeri serta rakyat.

“Hari ini kami datang semula kepada rakyat. Bukan dengan janji kosong. Bukan dengan retorik yang indah didengar tetapi sukar dilaksanakan.

"Sebaliknya kami datang dengan rekod. Dengan hasil. Dengan pengalaman. Dan yang lebih penting, kami datang dengan satu visi yang lebih besar untuk membawa Negeri Sembilan melangkah ke hadapan,” katanya.

Aminuddin turut menegaskan, rakyat kini mahukan sebuah kerajaan yang mampu menyatukan masyarakat, bukannya terjerumus dalam politik yang memecah-belahkan.

“Saya memilih untuk terus bercakap tentang masa depan. Kerana saya percaya rakyat Negeri Sembilan sudah matang. Rakyat tidak mahu politik yang memecahbelahkan. Rakyat mahukan politik yang menyatukan.

“Rakyat tidak mahu pemimpin yang hanya pandai berjanji. Rakyat mahukan pemimpin yang mampu menunaikan amanah,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik yang dibina sejak lapan tahun lalu perlu dikekalkan bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negeri, termasuk visi Negeri Sembilan Maju 2045, dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Must Watch Video

Advertisement