Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: "Sekarang ada masa, kerja dulu" - Anwar komen dapatan tinjauan pendapat

[TB]_anwar ibrahim, PRN, politik 1_ASTRO AWANI
Anwar berkata, pihaknya perlu terus giat melaksanakan kempen Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16). - Gambar fail
Advertisement

PORT DICKSON: “Enam survey (tinjauan), enam keputusan. Sekarang ada masa, kerja dulu.”

Itu reaksi ringkas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai unjuran terkini tinjauan pendapat berkaitan Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026, di sini, pada Jumaat.

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan, Ilham Centre mengunjurkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara gabungan berpotensi menguasai 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada PRN kali ini, sekali gus membentuk blok majoriti yang stabil.

Menurut pusat kajian itu, PH pula dijangka memenangi sekurang-kurangnya sembilan kerusi pada PRN yang dijadual berlangsung esok.

Ilham Centre merumuskan landskap sokongan politik di Negeri Sembilan kini mengalami penyusunan semula yang ketara.

Selain Ilham Centre, dapatan Kajian Persepsi Pengundi Negeri Sembilan Menjelang Pilihan Raya DUN ke-16 oleh IDE Research Centre (IDERC) pula merumuskan isu laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) berpotensi membentuk persepsi baharu dalam kalangan pengundi Melayu-Islam, khususnya pendeposit institusi itu, pada penghujung kempen.

Menerusi laporan pada Jumaat menambah, pengumuman bahawa kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkenaan memperkenalkan satu lagi isu besar pada saat akhir kempen, dengan kesannya berpotensi lebih ketara terhadap pengundi yang masih belum membuat keputusan.

Menurut kajian itu, isu berkenaan mempunyai nilai sensitif dalam kalangan masyarakat Islam kerana TH bukan sahaja berkaitan aspek kewangan, malah mempunyai nilai keagamaan dan emosi yang tinggi.

Untuk PRN kali ini, PH bertanding secara solo di kesemua 36 kerusi dengan 16 calon mewakili PKR, 11 daripada DAP dan sembilan lagi mewakili Amanah.
 

Must Watch Video

Advertisement