Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Sokongan kepada PH penting demi kesinambungan pembangunan - PM

KUALA PILAH, 14 Julai -- Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Dataran Melang malam ini.
Anwar, berkata menerusi mandat yang diberikan, ia akan memastikan Negeri Sembilan terus dipimpin oleh sebuah kerajaan yang bersih, stabil dan bekerja untuk rakyat. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 akan membolehkan kesinambungan usaha pembangunan diteruskan demi manfaat rakyat.

Beliau berkata keserasian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah membolehkan banyak pembangunan dilaksana namun menegaskan masih banyak yang perlu diteruskan.

“Alhamdulillah, saudara (Menteri Besar) Datuk Seri Aminuddin Harun, atau Tok Min, telah memimpin Negeri Sembilan sejak 2018 dengan amanah, sederhana dan berintegriti.

“Dengan penuh rasa rendah diri, saya merayu kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan agar terus memberikan kepercayaan kepada HARAPAN di bawah pimpinan Tok Min. Jangan biarkan usaha yang telah kita bina bersama ini terhenti di pertengahan jalan,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar, yang juga Pengerusi PH, berkata menerusi mandat yang diberikan, ia akan memastikan Negeri Sembilan terus dipimpin oleh sebuah kerajaan yang bersih, stabil dan bekerja untuk rakyat.

“Insya-Allah, HARAPAN akan terus memikul amanah ini dengan sebaik-baiknya demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih makmur dan sejahtera,” kata beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan Sabtu ini diikuti undi awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement