Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Zahid tepis dakwaan Muhyiddin, yakin keserasian BN-PN kekal utuh

Ahmad Zahid, PRN  Kredit: Astro AWANI
Ahmad Zahid berkata, hubungan antara kedua-dua gabungan itu masih berlandaskan persefahaman dan keserasian yang akan dinilai menerusi keputusan PRN16 pada 1 Ogos nanti.
Advertisement

PORT DICKSON: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau sudah menjangkakan ketegangan akan berlaku dalam kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Ia susulan kontroversi kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ahmad Zahid berkata, hubungan antara kedua-dua gabungan itu masih berlandaskan persefahaman dan keserasian yang akan dinilai menerusi keputusan PRN16 pada 1 Ogos nanti.

“Ya, itu pandangan beliau. Tetapi kami mempunyai persefahaman. Yang penting kita akan lihat keputusannya pada 1 Ogos nanti.

“Apapun telahan yang dibuat oleh beliau dan tanggapan itu adalah hak beliau. Tetapi kami telah membina keserasian dan keterlihatan keserasian ini dengan keputusan yang akan kita sama-sama lihat pada 1 Ogos ini,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan, di sini, pada Sabtu.

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan Muhyiddin berkata, beliau sudah menjangkakan ketegangan dalam kerjasama BN-PN kerana ia dibentuk atas dasar untuk merebut kuasa.

Beliau yang pernah menerajui PN berkata pengalamannya menguruskan gabungan itu membolehkan beliau memahami dinamika dalaman kerjasama berkenaan.

Isu tersebut tercetus susulan kenyataan Sanusi dalam ceramah perdana BN-PN di Jempol dua hari lalu ketika berucap mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.

Pengarah Pilihan Raya Pas itu turut menyatakan Malaysia merupakan satu-satunya tanah perlindungan bagi orang Melayu, sebagaimana negara lain mempunyai kaum asal masing-masing.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada Ahmad Zahid yang sebelum ini mengingatkan Menteri Besar Kedah itu supaya tidak memainkan isu kaum dan agama sepanjang tempoh berkempen pada PRN Negeri Sembilan.

Must Watch Video

Advertisement