REMBAU: Pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah selesai 90 peratus.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ada satu atau dua kerusi yang menyaksikan pertindihan dan memerlukan keputusan Jawatankuasa Majlis Presiden kedua-dua gabungan.

"Pertindihan kerusi ini disebabkan semua rasa boleh menang jadi kita serahkan kepada Jawatankuasa Majlis Presiden untuk menentukan bagi melihat dari segi kaca mata yang lebih luas.

"Macam di Negeri Sembilan, 16 kerusi sudah dikunci, hanya satu atau dua kerusi yang PH nak dan BN juga nak, jadi kita letak pada Majlis Presiden," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Rembau ke-47.

Mohamad juga berkata bagi kerusi yang sudah dimuktamad, setiap parti boleh memulakan gerak kerja bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.

"Kita tidak mahu disebabkan satu atau dua kerusi ini, kerja terbantut," katanya.

-- BERNAMA