Skip to main content

Politik

PRN: PH Melaka terbuka kerjasama politik, optimis tambah kerusi DUN – Adly

LUMUT, 7 April -- Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berucap ketika merasmikan Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lautan Kasih Pangkalan TLDM di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Adly berkata PH Melaka optimis menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding lima kerusi yang dimenangi sebelum ini daripada keseluruhan 28 kerusi. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, kata Pengerusinya Adly Zahari.

Beliau berkata bentuk kerjasama dan jumlah kerusi yang bakal ditandingi belum dimuktamadkan, dengan dua siri mesyuarat telah diadakan bagi menilai potensi serta persediaan menghadapi PRN setakat ini masih tertumpu pada peringkat dalaman gabungan itu. 

“Dalam politik demokrasi, memang pelbagai kerjasama boleh dilaksanakan. Kita berbincang tapi kita belum buat sebarang keputusan pada peringkat PH.

“Kita belum memuktamadkan bentuk kerjasama di luar daripada PH itu sendiri, tapi kita memang mengalu-alukan sesiapa pun yang mahu mengadakan rundingan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Santuni MADANI Bukit Katil di Padang Kolej Vokasional Melaka Tengah, di sini hari ini.

Adly berkata pihaknya juga belum mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) Melaka, namun PH terbuka bekerjasama dengan pihak yang mempunyai aspirasi selari dengan prinsip asas serta perjuangan berasaskan nilai Malaysia MADANI.

Mengulas sasaran kerusi, Adly berkata PH Melaka optimis menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding lima kerusi yang dimenangi sebelum ini daripada keseluruhan 28 kerusi.

Beliau berkata penelitian sedang dibuat berdasarkan kekuatan PH di tiga kawasan Parlimen yang dimenangi, iaitu Alor Gajah, Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya, selain melihat potensi di Tangga Batu, Masjid Tanah dan Jasin.

“Fokus paling utama kita adalah untuk meningkatkan kemenangan. Kita cukup positif bahawa kita memang boleh menambah kerusi-kerusi utama kita,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Melaka Adam Adli Abd Halim berkata situasi politik Melaka mempunyai dinamik tersendiri berbanding negeri lain, yang membentuk Kerajaan Perpaduan, justeru semua faktor perlu diambil kira dalam sebarang rundingan.

“Untuk sebarang rundingan dengan BN secara rasminya belum, tapi komunikasi dan perbincangan sentiasa diadakan. Kami secara individu mahupun wakil-wakil parti dengan BN, kita akan cari ruang macam mana kita nak selesaikan,” katanya.

Adam Adli berkata buat masa ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH lebih menumpukan usaha menyelesaikan tugas dan amanah kepada rakyat, selain mengelakkan polemik politik berlebihan yang boleh menjejaskan muafakat dan perpaduan masyarakat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement