SUNGAI PETANI: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta semua agensi penguat kuasa supaya memantau sebarang aktiviti 'sedekah politik' yang mungkin dilakukan pihak tertentu pada menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak mustahil ada gabungan parti politik akan menggunakan pendekatan yang sama terutamanya di saat-saat akhir tempoh berkempen kali ini.

"Kita juga mendapat tahu bahawa pihak lawan akan memberikan sedekah politik. Saya menyarankan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau aktiviti mereka ini.

"Sebabnya kegiatan memberi sedekah politik ini adalah rasuah dan dilarang mengikut Akta SPR.

"Pengalaman dalam PRU15, inilah yang dilakukan... kita harap ketiga-tiga agensi itu dapat memantau melalui pendekatan yang mereka sendiri tahu agar sedekah politik tidak dilakukan pihak yang satu lagi," katanya ketika ditemui pada Program Eksplorasi Belia di Kota Kuala Muda hari ini.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, ketika mengulas kajian dilakukan badan pemikir, Ilham Centre yang meramalkan status quo di enam negeri yang mengadakan PRN berkata, kepimpinan Kerajaan Perpaduan akan terus melaksanakan langkah-langkah yang demokratik bagi memenangi hati pengundi.