KULIM: Perikatan Nasional (PN) Kedah menyasarkan kemenangan sebanyak 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 36 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, angka itu dapat dilihat menerusi sentimen pengundi sepanjang tempoh beliau berkempen.

"Boleh menang 33-3 (kalah tiga kerusi kepada PH-BN)," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri ceramah Grand Finale Sembang Santai bersama Sanusi di Padang Awam Tunku Putra pada Jumaat.

Ditanya mengenai kerusi yang diramalkan kalah, Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak mendedahkan perkara tersebut.

Kedah dianggap sebagai kubu kuat PN dan PRN15 kali ini juga bakal menjadi saingan sengit dan penentu sama ada ia mampu dipertahankan atau tidak.

Sebelum ini, penganalisis politk menjangkakan, PN mungkin tewas di Sidam, Kota Darul Aman, dan Bakar Arang.

Kedah dianggap negeri yang agak panas pada pertembungan PRN15 kali ini termasuk kerusi yang ditandingi Muhammad Sanusi iaitu DUN Jeneri.

Beliau bakal berhadapan dengan calon dari Barisan Nasional (BN) Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.