BUTTERWORTH: Perikatan Nasional (PN) dilihat hanya bermimpi di siang hari apabila membayangkan mampu memenangi 14 kerusi Melayu di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sesiapa sahaja boleh bermimpi namun hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang mudah.

"Ramai orang bermimpi termasuk mimpi di siang hari. Eloklah kalau masa matahari tengah panas, mimpi terulit apabila tidurnya terlalu nyenyak," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keyakinan PN memenangi majoriti kerusi Melayu di Pulau Pinang.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan PN mungkin akan menang besar di Pulau Pinang selepas kejayaan besar gabungan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

Malah Pas dan Bersatu negeri juga sudah menyatakan persetujuan untuk bertanding di 15 kerusi majoriti Melayu di negeri itu.

DUN Pulau Pinang dijangka dibubarkan Jun ini bagi membolehkan PRN diadakan antara Julai hingga Ogos ini.


Turut akan membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan PRN dijalankan secara serentak ialah Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Terdahulu ,Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan  Desa dan Wilayah menyerahkan Kunci rumah kepada 10 penyewa Projek Perumahan Rakyat  Kuala Sungai Pinang sempena lawatan kerja beliau ke Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang di Butterworth pada Ahad.