GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berpandangan Jun atau Julai ini adalah waktu yang paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata,  setakat ini masih tiada perbincangan rasmi berhubung tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri namun tidak menolak kemungkinan membuat pembubaran DUN pada penghujung Mei ini.

Kon Yeow berkata, secara lazimnya tarikh lengkap penggal DUN di setiap negeri berbeza namun jika dilihat dari sudut politik dan pilihan raya tempoh genap lima tahun pentadbiran negeri adalah pada 8 Mei ini.

Kon Yeow berkata, DUN Pulau Pinang masih mempunyai tempoh sah sehingga 2 Ogos 2023 iaitu bermula dari tarikh persidangan pertama diadakan.

"Bagi saya kalau selepas 8 Mei onwards ia dibubarkan, ia mungkin boleh dibubarkan pada bila-bila. Mungkin kalau dibubarkan akhir Mei.

"Jadi semestinya pilihan raya (PRN) perlu diadakan pada Jun atau selewat-lewatnya Julai, jadi betullah apa yang dikatakan oleh Menteri-menteri Besar (lain), mungkin Jun (atau) Julai adalah paling sesuai untuk seragamkan semua negeri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata sebelum ini perbincangan mengenai tarikh pembubaran DUN ada dibincangkan sewaktu pertemuan  Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri di Putrajaya dan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara Januari lepas.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, mesyuarat selanjutnya dijangka akan diadakan sekali lagi pada 21 Februari ini dan antara perkara yang akan dibincangkan termasuk mengenai PRN di enam negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditanya cadangan tarikh pembubaran DUN Pulau Pinang pada sidang media di pejabatnya di Komtar, Pulau Pinang pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubarkan pada 1 Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Bagaimanapun Naib Presiden PKR itu berkata cadangan berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan bahawa DUN Kedah akan dibubarkan selepas pertengahan Jun .

Ia selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri, tempoh ibadah haji serta sambutan Aidiladha.

Selain Negeri Sembilan dan Kedah, empat lagi negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini ialah Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu.