JELEBU: Tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof P Ramasamy keluar DAP dan meletak semua jawatan membuktikan keputusan parti tidak mencalonkannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini adalah tepat.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, malahan keputusan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu juga sudah dijangkakan.

Katanya, ini kerana Ramasamy langsung tidak membantu sebarang kempen Pakatan Harapan (PH) selepas tidak dicalonkan.

“Saya rasa tidak sedap apabila seseorang yang telah menerima banyak peluang daripada parti dan telah diberi banyak peluang menjadi timbalan ketua menteri selama tiga penggal... tapi tidak sampai dua minggu tidak dicalonkan dia keluar parti dan itu terpulang kepada rakyat (untuk) menilai.

“Kalau mana-mana pihak nak keluar parti, kita tidak merayu (kerana) kalau orang itu sudah tidak ada hati untuk bersama parti, dia nak keluar, keluarlah, kita tidak akan merayu siapa-siapa yang hendak meninggalkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program santai minum pagi bersama masyarakat Chennah di balai raya Kampung Chennah pada Khamis.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Timbalan Pengerusi PH berkata, tentunya parti dukacita dengan tindakan berkenaan, bagaimanapun beliau percaya langkah itu tidak sedikitpun menjejaskan perjalanan kempen PRN.

Beliau turut mempersoalkan keikhlasan bekas pemimpin kanan Pulau Pinang itu yang seolah-olah hanya menunggang parti demi jawatan semata-mata.

“Saya tidak perlu label mana-mana pihak, saya biarkan rakyat menilai karakter mereka dan bagi saya apabila seorang itu meninggalkan parti kerana tidak lagi mendapat jawatan dalam parti maknanya keberadaan (Ramasamy) dalam parti tidak ada keikhlasan.

“Adakah selama ini mereka hanya tunggang parti demi jawatan dan hari ini tidak ada jawatan terus keluar parti?,” soalnya.

Terdahulu, Ramasamy mengumumkan keluar parti dan meletakkan semua jawatannya dalam DAP berkuat kuasa pada Khamis.

Beliau berkata, surat peletakan jawatan sebagai ahli DAP dan Pengerusi DAP Cawangan Chai Leng Park telah diserahkan Loke pada jam 8.24 pagi.

Beliau turut menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.