GURUN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun menyaksikan pertembungan bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar mewakili Perikatan Nasional (PN) menentang anak Speaker Dewan Negara, Mohammed Firdaus Johari (Pakatan Harapan).

Baddrol mengakui perasaannya seperti menempuh perlawanan final bola sepak semasa menuju ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di Dewan Lestari, Guar Chempedak pagi Sabtu.

Beliau yang juga bekas kapten Sabah FC itu bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat jika memenangai DUN tersebut pada 12 Ogos Ini.

"Perasaan tu memang ada sikit macam main bola sepak... macam final lah perasaan tu, jadi sama-sama kita berdoa untuk kebaikan masing-masing," katanya.

Terdahulu, Baddrol bersama dua lagi calon PN, bagi DUN Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samad dan DUN Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad diiringi lebih 1,000 penyokong parti tersebut menuju ke Dewan tersebut pada jam 8.40 pagi.

Ikon bola sepak Kedah itu sah berdepan calon Pakatan Harapan, Mohammed Firdaus yang merupakan anak penyandang DUN Gurun yang juga Speaker Dewan Negara, Tan Sri Johari Abdul.

Mengulas pertembungan tersebut, Baddrol yang merupakan pendatang baharu dalam dunia politik menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan terbaik.

Sementara itu, Mohammed Firdaus berkata, dia tidak berasa ini satu tekanan untuk mempertahankan kerusi dimenangi bapanya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Menurutnya, dia sentiasa mengingati pesanan ayahnya supaya berkerja kuat untuk rakyat dan berani menghadapi cabaran.