PRN Sabah: GRS telah buktikan keupayaan majukan Sabah - Hajiji

Hajiji hadir pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad. - Foto Jabatan Ketua Menteri
KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan keupayaan dan kecekapan dalam mentadbir negeri ini dengan pencapaian yang membanggakan sepanjang lima tahun lalu.
Ringkasan AI
- Kerajaan GRS menunjukkan pencapaian cemerlang dalam tempoh lima tahun melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang meningkatkan hasil negeri dan memacu sektor industri, pelancongan serta pertanian.
- Projek infrastruktur asas seperti air, jalan dan tenaga sedang giat dilaksanakan termasuk Empangan Air Tawau, LRA Kogopon 2, dan Empangan Hidro Ulu Padas, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dalam projek Lebuhraya Pan Borneo dan Southern Link.
- Sabah kini terlibat secara langsung dalam sektor minyak dan gas melalui perjanjian CCA bersama PETRONAS, manakala dakwaan pembangkang terhadap kegagalan pentadbiran GRS disifatkan sebagai tidak berasas dan bersifat retorik politik.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS menambah, Kerajaan Negeri komited menangani isu asas rakyat seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik.
Hal ini diterjemahkan melalui 18 projek air yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri termasuk Projek Empangan Air Tawau, Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar, dan Projek Menaiktaraf Muka Sauk Kabang.
Jelas Hajiji, projek-projek berkenaan dijangka siap pada tahun depan.
“Kerajaan Negeri bukan sahaja melaksanakan dan menyelenggara jalan negeri, malah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan penyelenggaraan jalan persekutuan serta pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo berjalan mengikut jadual,” katanya.
Dalam sektor tenaga pula, Hajiji menambah Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan memulakan Projek Empangan Hidro Ulu Padas di Tenom.
Selain itu, beliau menjelaskan pembiayaan Projek Southern Link bernilai RM765 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 akan menjamin kecekapan sistem tenaga di Pantai Timur Sabah.
“Kerajaan GRS merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan berterusan terhadap Sabah, termasuk dalam perjuangan menegakkan hak negeri sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Hajiji turut menegaskan kejayaan Sabah meneroka sektor minyak dan gas menerusi perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) bersama PETRONAS, membuka ruang lebih besar kepada Sabah untuk terlibat secara langsung dalam rantaian industri tersebut.
Justeru ujar beliau, dakwaan pembangkang kononnya Kerajaan GRS gagal mentadbir negeri adalah tidak berasas dan sekadar usaha mengelirukan rakyat.
“Pihak pembangkang sebaliknya gagal mentadbir dengan baik ketika berkuasa dan kini menabur janji tidak masuk akal termasuk kononnya mampu menyelesaikan isu air dalam setahun dan melahirkan 50,000 jurutera dalam masa singkat.
“Rakyat kini semakin bijak menilai siapa yang benar-benar mampu mentadbir dan siapa yang hanya mampu menabur retorik dan janji politik,” ujar beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami