Momentum kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tidak akan diterjemah dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

Demikian ditegaskan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohd Azis Jamman yang juga Ahli Parlimen Sepanggar.

Menurutnya, di Slim, majoriti pengundi adalah orang Islam dan tiga parti utama yang berkempen ketika itu pula diterajui orang Melayu, merujuk kepada UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kawasan Slim itu, majoritinya bumiputera Islam.

"Jadi, tidak dinafikan, apabila tiga parti Melayu terbesar di Semenanjung Malaysia itu bergabung, ia pastinya membentuk satu landskap politik di mana, nampak orang Melayu bersatu.

"Tetapi, sebenarnya dalam sebuah negara multiracial (pelbagai bangsa) seperti Malaysia, khususnya kita di Sabah ini, dengan kepelbagaian kaum, bangsa dan agama, saya yakin, percaya, apa yang berlaku di Slim itu tidak akan dapat diterjemahkan untuk datang ke negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Libaran, di sini, malam tadi.

BACA: Slim Memilih: BN menang dengan majoriti lebih besar

BACA: Slim Memilih: Kemenangan Zaidi bukti rakyat yakin dengan BN, PN - Muhyiddin

BACA: Kemenangan BN bermakna buat MN dan PN - Presiden Pas

29 Ogos lalu, BN mengekalkan kerusi DUN Slim apabila calonnya Mohd Zaidi Aziz berjaya memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 10,945 undi, menewaskan pencabarnya Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Shantarasekaran - kedua-duanya calon Bebas.

Menurut Mohd Azis, Sabah unik kerana memiliki pelbagai kaum dan agama.

Tambahnya, ia menjadi kekuatan kepada Warisan yang merupakan sebuah parti multiracial.

Sebelum ini, beberapa penganalisis politik dan pemimpin menegaskan kemenangan BN di PRK Slim akan dibawa ke Sabah.