PRN Sabah: Pemimpin, calon, penyokong dinasihat jaga tatasusila - KPN

Mohd Khalid ketika Istiadat Perbarisan Tamat Latihan PLAK Inspektor Percubaan Bilangan 13 Siri 1/2025 di Pulapol di sini, pada Jumaat. - Gambar Ikqwan Lee/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Semua pemimpin politik, calon dan penyokong parti dinasihatkan agar menjaga tatasusila serta mematuhi undang-undang sepanjang perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, selaras dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum perlu mengekalkan suasana aman dan stabil bagi memastikan proses demokrasi dapat dijalankan dengan lancar dan beretika.
“Kita sebuah negara berbilang kaum dan hidup dalam keadaan yang baik serta harmoni. Oleh itu, saya menyeru semua pihak yang terlibat dalam PRN kali ini agar menjaga tatasusila, disiplin dan mematuhi lunas undang-undang supaya pilihan raya dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisian (PLAK) Inspektor Percubaan Bilangan 13 Siri 1/2025 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, pada Jumaat.Mohd Khalid turut menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memastikan keselamatan rakyat dan pengundi sentiasa terpelihara, seiring dengan matlamat pasukan itu untuk menjamin keamanan serta kestabilan negara berada di bawah penyeliaan yang baik dan berkesan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah secara rasminya dibubarkan pada 6 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN-17 diadakan dalam tempoh 60 hari sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima writ pengisytiharan pembubaran DUN Sabah daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata penerimaan writ itu menandakan bermulanya proses rasmi bagi pelaksanaan PRN-17 Sabah.
Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Khamis depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting serta urusan berkaitan perjalanan PRN-17 Sabah, termasuk tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami