PRN Sabah: PH 'main dua kolam', tiada masalah cuma sedikit komplikasi - Bung Moktar

BN mengambil keputusan untuk tidak bersama dengan GRS pada PRN17, tetapi bekerjasama dengan PH. - Foto Facebook/Bung Moktar Radin
KOTA KINABALU: Keputusan Pakatan Harapan (PH) yang menjalin kerjasama dengan dua gabungan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), disifatkan sebagai tidak menimbulkan masalah.
Ringkasan AI
- Bung Moktar menyifatkan gabungan antara PH, BN dan GRS menjelang PRN-17 sebagai tidak bermasalah, walaupun mengakui wujud sedikit komplikasi dan keraguan yang sedang dibincangkan secara aktif.
- BN memutuskan untuk tidak bergabung dengan GRS dalam PRN-17, sebaliknya meneruskan kerjasama dengan PH. GRS pula kekal menjalin hubungan dengan PH tanpa menyertai BN.
- PH dilaporkan meminta sekitar 23 kerusi, dan menurut Bung Moktar, persetujuan prinsip telah dicapai, dengan hanya beberapa kerusi lagi yang perlu diperhalusi bersama.
"Cuma insya-Allah kita akan cari pendekatan dalam mengatasi masalah ini," katanya dalam sidang media di bangunan UMNO di sini pada Isnin malam.
Mengulas lanjut mengenai ‘keraguan’ itu, beliau menafikan ia berpunca daripada isu kepercayaan antara parti-parti yang bekerjasama.
BN mengambil keputusan untuk tidak bersama dengan GRS pada PRN-17, tetapi bekerjasama dengan PH.
GRS juga mengambil pendirian sama dengan kekal menjalin kerjasama dan hubungan dengan PH pada pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, Bung Moktar meletakkan harapan bahawa PH akan 'lebih memilih' BN, berdasarkan kerjasama sedia ada di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, walaupun GRS juga merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan, namun UMNO memainkan peranan lebih besar dalam menyokong PH di Putrajaya.
"Harap-harap dia (PH) sokong kita, sebab kita yang bantu dia di peringkat Persekutuan. Sebab kami UMNO bantu PH di Persekutuan dengan 30 kerusi, Manakala GRS enam kerusi.
"Dia (PH) fikir lah mana satu besar (jumlah kerusi), mana satu kecil," kata Bung Moktar.
Mengenai jumlah agihan kerusi antara BN dan PH pula, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata PH meminta sekitar 23 kerusi, namun secara prinsipnya telah ada kata sepakat antara kedua-dua pihak.
"Ia hampir-hampir begitu (23 kerusi) cuma saya ingin jelaskan, PRN Sabah kali ini memang dinamik dan dinamikanya ini akan mencetuskan sedikit komplikasi dan kita tunggu keadaan.
"Kalau keadaan terpaksa, bermakna kita lakukan apa yang terbaik untuk parti.
"Cuma, secara lebih kurang (more or less) telah ada persetujuan, tinggal beberapa kerusi lagi yang akan kita halusi bersama," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami