KOTA KINABALU:Keputusan siapa calon Ketua Menteri Sabah yang baharu akan dibuat Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dalam waktu terdekat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Tun Juhar meminta tempoh untuk membuat keputusan itu.

“Dia minta tempoh... (keputusan) dapat waktu terdekat,” katanya ringkas kepada media selepas menghadap Tun Juhar petang ini.

Selain beliau, tiga lagi pemimpin masing-masing Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim; dan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan turut menghadap Tun Juhar.

BACA: LAPOR LANGSUNG: GRS menang majoriti 38 kerusi

BACA: LAPOR LANGSUNG: Sehari selepas PRN Sabah - Apa seterusnya?

BACA: LAPORAN KOMPREHENSIF PRN SABAH, KLIK DI SINI


Sementara itu, Jahid menjelaskan pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Tun Juhar untuk membuat keputusan.

Jahim menjelaskan segala proses perbincangan berjalan lancar.

“Kita serahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin tentukan,” katanya.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 semalam.

GRS mendapat 38 kerusi, kelebihan satu kerusi daripada majoriti mudah 37 kerusi di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 73 kerusi sekarang.