MIRI: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg membayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang berkemungkinan menjadi pilihan raya terakhir yang disertainya selepas genap berusia 76 tahun pada 4 Ogos lalu.
Berucap di hadapan kira-kira 3,000 perwakilan dan pemerhati pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara di Stadium Tertutup Miri pada Ahad, Abang Johari atau lebih mesra disapa Abang Jo berkata, beliau akan membuat keputusan mengenai perkara itu apabila tiba masanya.
"Saya berterus terang, mungkin ini yang terakhir untuk saya. Kita tidak boleh melawan hukum alam walaupun jiwa masih muda. Namun saya akan membuat keputusan apabila tiba masanya. Apa yang penting, perjuangan kita untuk PBB akan terus diteruskan," katanya.
Menurut beliau, sebagaimana pemimpin terdahulu yang membimbing dan membentuk kepimpinannya, beliau juga sedang mempersiapkan barisan pelapis untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
"Saya sudah berusia 76 tahun. Nasib baik (bait nasib) masih ada tenaga. Empat tahun lagi saya berusia 80 tahun. Kita terpaksa mencari pengganti dan pengganti itu mesti dilatih. Jika tidak dilatih, sukar untuk memimpin.
"Mereka perlu belajar bagaimana berhubung dengan rakyat, berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama serta memahami cara membina hubungan yang baik dengan semua pihak supaya tidak menjadi toksik," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa syukur kerana diberikan peluang menimba pengalaman dan didikan daripada pemimpin terdahulu, sekali gus menganggap menjadi tanggungjawabnya untuk membimbing generasi pemimpin baharu.
Katanya, usaha melahirkan pelapis perlu dilaksanakan secara berterusan, termasuk memberi peluang kepada muka baharu bertanding dalam pilihan raya.
"Sebab itu pada setiap pilihan raya kita mesti memperkenalkan calon baharu. Pada pilihan raya lalu, kita tampil dengan wakil baharu seperti Royston Valentine (ADUN Tellian) dan Azizul Adenan (ADUN Tanjong Datu)," katanya.
Abang Johari turut menasihati mana-mana penyandang kerusi daripada PBB yang mungkin tidak dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang supaya menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
"Kalau berlaku pertukaran, jangan berkecil hati. Kadang-kadang kita rasa kecewa apabila tidak dipilih lagi, tetapi itulah lumrah dalam politik," katanya.
Beliau berkata, proses pertukaran kepimpinan merupakan sesuatu yang semula jadi dan perlu diterima sebagai sebahagian daripada kitaran politik, apabila generasi lebih muda diberi ruang untuk mengambil alih kepimpinan.
Untuk rekod, lebih 20 peratus daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak ketika ini berusia lebih 70 tahun, termasuk seorang yang telah mencecah usia lebih 80 tahun.
Abang Johari mula menceburi dunia politik pada 1979 dan dilantik sebagai Premier Sarawak pada 2017.