KUCHING: Sebanyak 24 muka baharu ditampilkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi berentap pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak pada 18 Disember ini.

Ia termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disebut-sebut sebelum ini iaitu Lingga dan Tanjung Datu.

Bagi dua kerusi itu, GPS mempertaruhkan calon muka baharu dan muda iaitu Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga) dan Azizul Annuar Adenan (Tanjung Datu).

Antara lain Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia melibatkan kerusi DUN Opar, Satok, Padungan dan Batu Lintang.

Selain itu, Baleh, Telian, Krian, Kalaka, Stakan, Tebedu, Ngemah, Katibas dan Ba’ Kelalan, Pujut dan Tanjung Batu.

Kata Abang Johari, GPS memperkenalkan golongan muda berusia antara 30 hingga 40 tahun untuk pilihan raya kali ini.

“Satu lagi kita juga memperkenalkan beberapa muka baharu yang berumur 30an hingga 40an kerana kita percaya bahawa mereka akan dilatih dan didedahkan dengan politik di Sarawak.

“Politik di sini memperjuangkan masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan dan keduanya, politik di Sarawak hanya rakyat Sarawak yang tahu,” katanya.

GPS tanding semua kerusi DUN, ramai muka baharu


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan watikah pelantikan calon GPS di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini pada Jumaat.

Terdahulu Abang Johari mengesahkan GPS bertanding di semua 82 kerusi DUN pada PRN12.