LAWAS: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan tidak memandang rendah dua calon yang bersaing dengannya untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kali ini.

Baginya, setiap calon mempunyai kelebihan serta kekuatan masing-masing dan apa-apa sahaja boleh berlaku ketika PRN ini.

“Tidak, dalam pilihan raya kita jangan pandang rendah. Mereka ada kekuatan sendiri, kalau tidak takkanlah mereka bertanding, untuk apa?

"Jadi mungkin mereka ada kekuatan dan kelebihan masing-masing,” katanya semasa menjawab soalan pemberita dalam sidang media selepas penamaan calon pada Isnin.

Tegasnya, soal PRN tidak boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan masa depan kerajaan dan rakyat.

“Jadi saya menasihatkan kepada semua bukan saja penyokong-penyokong saya tetapi rakyat keseluruhannya setiap kali pilihan raya. Pilihan raya kita tidak boleh pandang rendah kita harus bekerja kuat bersungguh sungguh dan perjelaskan apa yang telahpun dilaksanakan oleh kerajaan dan apa yang akan kita rancang,” tambahnya.

Awang Tengah yang merupakan wakil rakyat Lawas sejak tahun 1987 dan kemudiannya berkhidmat tiga penggal berturut-turut bagi DUN Bukit Sari sejak persempadanan semula tahun 2005 mengakui sebagai wakil rakyat, komunikasi dan keterlibatan antara pemimpin di akar umbi adalah asas utama untuk membawakan kemajuan di sesebuah kawasan.

“Saya berpendirian begitu sebab dalam soal bantu masyarakat kita, malahan dalam merancang apa yang perlu dibuat saya selalu mengambil kira pendapat masyarakat daripada bawah sebab mereka lebih memahami kesusahan dihadapi.

“Mungkin mereka tidak begitu faham dari segi perancangan keseluruhannya tapi perkara itu kita kongsi dan bincang sama-sama,” katanya lagi.