Skip to main content

Sukan

Aichi-Nagoya 2026: Eain Yow mahu segalanya termasuk emas Olimpik LA28

Skuad skuasy lelaki negara memenangi pingat emas dalam acara skuasy berpasukan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya Kinjo Futo Arena. - Foto BERNAMA
Skuad skuasy lelaki negara memenangi pingat emas dalam acara skuasy berpasukan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya Kinjo Futo Arena. - Foto BERNAMA

Advertisement

NAGOYA: “Saya mahukan segala-galanya.” Itu tekad pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow yang kini memasang impian untuk bergelar pemain nombor satu dunia, juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pemain berusia 28 tahun itu berkata fokusnya kini adalah untuk terus memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia selepas kembali menjalani kehidupan lebih stabil di pangkalan latihannya di Bristol, England.

“Sekarang fokus saya adalah untuk terus mendaki ranking. Saya kini kembali menjalani kehidupan yang lebih stabil di pangkalan latihan dan dapat menjalani latihan secara konsisten.

“Saya boleh memberi tumpuan kepada skuasy dan sangat teruja untuk terus memperbaiki permainan dalam beberapa bulan akan datang dan tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas membantu Malaysia meraih emas kesembilan dalam acara berpasukan lelaki di Aichi-Nagoya 2026, semalam.

Eain Yow, yang turut merangkul pingat emas perseorangan lelaki, percaya rutin latihan yang lebih konsisten mampu menjadi asas untuknya melonjakkan kedudukan dalam ranking dunia.

“Saya percaya saya akan terus mendaki ranking. Saya mahu menjadi nombor satu dunia, saya mahu menjadi juara dunia dan saya mahu emas Olimpik.

“Saya mahukan segala-galanya dalam sukan ini, jadi saya akan terus bekerja keras,” katanya.

Terdahulu, Eain Yow yang kini menghuni ranking ke-18 dunia menjadi atlet pertama Malaysia mengesahkan slot automatik ke LA28 selepas muncul juara perseorangan lelaki, sebelum S. Sivasangari turut mengesahkan kelayakan automatik negara dalam perseorangan wanita.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan melabuhkan tirainya pada Ahad.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement