KUALA LUMPUR: Kejayaan rundingan autonomi Sarawak tidak semestinya mencerminkan peningkatan taraf hidup rakyat, khususnya dari segi pendapatan dan mutu perkhidmatan asas.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 bakal menguji sejauh mana kemajuan negeri itu dinikmati secara adil.
Menurutnya, status negeri berpendapatan tinggi dan pelbagai projek pembangunan menjadi antara kekuatan pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Namun, pengundi turut menilai isu kos sara hidup, pekerjaan berkualiti, gaji bermaruah serta kemudahan asas di luar bandar.
"Ukuran penting dalam PRN kali ini ialah sama ada kemajuan pembangunan negeri benar-benar dapat dirasai, dapat dinikmati secara adil oleh rakyat," katanya dalam Buletin AWANI hari ini.
Awang Azman berkata, isu bekalan air, jalan raya dan akses kesihatan di pedalaman masih perlu diberikan perhatian.
Beliau turut melihat pengundi muda berpotensi mengubah pola sokongan politik berdasarkan peluang pekerjaan, pemilikan rumah pertama dan masa depan ekonomi.
"Pengundi muda tak banyak bergantung kepada sentimen masa lalu, konsep mengenang budi atau sebagainya," katanya lagi.
Tambahnya, peluang pekerjaan dengan gaji setimpal penting bagi mengurangkan keperluan anak muda Sarawak berhijrah ke negeri lain.
PRN kali ini turut menjadi medan menguji keberkesanan dasar pembangunan GPS selepas gabungan itu memenangi 76 daripada 82 kerusi pada 2021.