KUCHING: Kerajaan di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak hanya sekadar memberi janji kosong, sebaliknya menunaikan segala bentuk pembangunan dan bantuan yang dijanjikan.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berbeza dengan segelintir pihak, mereka hanya pandai menabur janji manis tanpa mengotakan apa yang dikatakan.

"Apabila kita cakap, kita tunaikan, bukan macam orang lain. Dia (janji) kasi 20 peratus, sampai hari ini tidak ada... Ooo, kalau saya perintah, saya iktiraf. Boleh terus UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu). Mana? Mana?...

"Sudah ada kerajaan pun tiada (tidak ditunaikan). Sarawak kata iktiraf, (Allahyaraham Tan Sri) Adenan iktiraf, saya iktiraf. Kita cakap dan kita buat tetapi orang lain cakap sana sini. Siapa yang teruk? Rakyat yang teruk.

"Datuk Sim (Datuk Seri Sim Kui Hian) mahu tolong sekolah Cina... Saya kata Sim, kita beri RM10 juta setiap tahun kepada sekolah Cina. Kita cakap, kita buat... tetapi orang lain, cakap sana, sini, tetapi tidak buat," kata beliau.

Mengulas lanjut, apa yang paling penting sebagai kerajaan, Pengerusi GPS itu berkata mereka mesti bekerja kuat demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Justeru beliau menegaskan, rakyat boleh menilai prestasi yang ditunjukkan oleh GPS sepanjang tempoh empat tahun lalu.

"Di media sosial ini anda nilailah... yang mana satu bagus, yang mana satu betul... Jangan pandang rendah kepada rakyat. Mereka bijak untuk menilai.

"Itu saya biarkan anda untuk menilai apa sahaja yang ditulis di media sosial. Tetapi setakat ini, saya dan rakan-rakan (dalam parti komponen), semua kerja kuat demi rakyat Sarawak," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pusat Penjaja Kota Sentosa, di sini pada Rabu.

Kos pembinaan Pusat Penjaja Kota Sentosa berkeluasan 1,614 meter persegi itu dianggarkan bernilai RM2.4 juta dan dijadualkan siap pada 14 Julai 2022.