GEDONG: Parti-parti politik yang 'muncul' pada pilihan raya disifatkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. 

Apabila selesai  pilihan raya tersebut, parti-parti berkenaan akan hilang, demikian kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam temu bual bersama Astro AWANI, Abang Johari berkata, berbeza dengan GPS, parti tersebut mempunyai berpengalaman yang cukup luas. 

"Saya nampak bahawa rakyat sekarang tahu menilai, mungkin itu apa yang berlaku di Melaka.

"Lebih-lebih lagi politik kita hanya mengenai kepentingan Sarawak, ala Sarawak. Sebab itu kita nampak yang banyak bertanding ini ialah parti-parti yang selalunya waktu pilihan raya ada... yang tumbuh seperti cendawan musim hujan, selepas itu hilang...

"Tetapi kita dalam GPS sudah mempunyai pengalaman yang luas dan pendekatan yang lebih 'calculative' dalam kita nak mentadbir urus negeri," kata beliau.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas saingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak yang menyaksikan ada kerusi dicabar sehingga lapan penjuru.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong merupakan satu-satunya kerusi yang dicabar lapan penjuru iaitu paling ramai di PRN Sarawak.

Mengulas lanjut, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, dalam sistem demokrasi, saingan itu memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk menjalankan tanggungjawab memilih calon yang mahu diangkat sebagai wakil rakyat di kawasan mereka.

"Tetapi mereka (pengundi) juga telah mengambil kira berapa pentingnya kestabilan politik dan mereka telah melihat apa yang berlaku di negara kita.

"Saya yakin keutamaan akan diberikan kepada kestabilan politik dan hala tuju pembangunan yang harus kita laksanakan," ujar beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan sebanyak empat DUN berdepan satu lawan satu, manakala 13 DUN berdepan tiga penjuru pada PRN12 Sarawak.

Selain itu, sebanyak 33 kerusi berdepan empat penjuru, 24 DUN dengan lima penjuru serta tujuh kerusi dengan enam penjuru.

Seramai 349 calon bakal berentap di 82 DUN pada PRN12 Sarawak yang ditetapkan pada 18 Disember ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 304 terdiri adalah calon lelaki, manakala 45 adalah wanita.