KEPALA BATAS: Pas setakat ini masih enggan mendedahkan jumlah sebenar kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang dijadual berlangsung 18 Dis ini.

Naib Presiden Pas Senator Idris Ahmad berkata, parti itu akan tetap bertanding, namun jumlah kerusi dan siapa yang bertanding hanya akan diketahui pada hari penamaan calon Isnin ini.

"Nanti tengok pada 6 hari bulan, tengok Pas bertanding berapa kerusi. Tunggu hari penamaan calon, insya-Allah, akan bertanding berapa kerusi, dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi Pas pada PRN Sarawak.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian pada sidang media selepas perasmian wakaf Short Stay Unit (SSU), Hospital Kepala Batas (Jabatan Kecemasan dan Trauma) di sini hari ini.

Pada Selasa, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan parti itu akan meletakkan calon kurang daripada 11 kerusi.

Terdahulu, Penolong Setiausaha Pas Sarawak Syamsul Bahrie Mohamad mengesahkan parti itu akan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia melibatkan kawasan DUN Kemena, Beting Maro, Semariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju.