Ringkasan AI
- Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Peguam Negara, meninggal dunia pada usia 71 tahun akibat jangkitan di Pusat Perubatan Prince Court.
- Beliau berkhidmat lebih tiga dekad dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan, termasuk mengetuai pendakwaan kes berprofil tinggi serta siasatan 1MDB.
- Abdul Gani merupakan graduan undang-undang universiti tempatan pertama menjadi Peguam Negara dan terus menyumbang dalam bidang perundangan selepas bersara.
KUALA LUMPUR: Pemergian Tan Sri Abdul Gani Patail menutup satu lembaran perjalanan seorang tokoh perundangan yang pernah mewarnai sejarah negara.
Bekas Peguam Negara itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun jam 9.15 malam Khamis di Pusat Perubatan Prince Court akibat jangkitan.
Lebih tiga dekad dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Allahyarham terlibat dalam pelbagai kes berprofil tinggi serta menyaksikan perubahan landskap perundangan negara.
Mengenang pemergiannya, Astro AWANI merangkumkan sembilan fakta mengenai perjalanan hidup dan kerjaya Allahyarham:
1. Anak kelahiran Lahad Datu, Sabah
Dilahirkan pada 6 Oktober 1955 di Lahad Datu, Sabah, Abdul Gani melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM).
Allahyarham menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1980 sebelum menggalas pelbagai tanggungjawab dalam Jabatan Peguam Negara.
2. Pernah menuntut bersama Sudirman dan Idrus Harun
Ketika menuntut di UM, Abdul Gani merupakan rakan sekelas kepada penghibur legenda negara, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan seorang lagi bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Perkara itu direkodkan dalam Jurnal Pengajian Melayu terbitan UM pada 2022, yang merujuk keratan akhbar Utusan Malaysia pada 1980.
3. Graduan universiti tempatan pertama menjadi Peguam Negara
Abdul Gani memulakan tugas secara rasmi sebagai Peguam Negara kelapan Malaysia pada 1 Januari 2002.
Pelantikan itu mencatat sejarah apabila Allahyarham menjadi graduan undang-undang universiti tempatan pertama menyandang jawatan berkenaan.
Pada 2006, beliau turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh University of Nottingham, United Kingdom.
4. Berkhidmat sepanjang pentadbiran tiga Perdana Menteri
Sepanjang lebih 13 tahun menyandang jawatan Peguam Negara, Allahyarham berkhidmat ketika pentadbiran tiga Perdana Menteri.
Mereka ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
5. Mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi
Antara kes yang pernah dikendalikan Abdul Gani ialah pendakwaan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan pada 1993 serta kumpulan Al-Ma'unah pada 2000.
Allahyarham turut terlibat dalam pasukan pendakwaan kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
6. Mengetuai pendakwaan kes pencerobohan di tanah kelahirannya
Pada 2013, Abdul Gani memainkan peranan penting dalam proses perundangan susulan insiden pencerobohan di Lahad Datu, daerah kelahirannya.
Allahyarham mengetuai pasukan pendakwaan membabitkan 30 individu berhubung insiden berkenaan, termasuk pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
7. Penamatan perkhidmatan ketika siasatan 1MDB
Tahun 2015 menyaksikan perkhidmatan Abdul Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan berkuat kuasa 27 Julai, dengan faktor kesihatan dinyatakan sebagai alasan rasmi ketika itu.
Penamatan tersebut berlaku ketika pasukan petugas khas sedang menjalankan siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Allahyarham sebelum itu turut memberikan panduan dan nasihat perundangan kepada agensi yang menjalankan siasatan berkenaan.
Pada 21 Januari 2025, Najib ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi menafikan penamatan perkhidmatan Abdul Gani dibuat kerana rancangan untuk mendakwanya.
8. Kembali menganggotai pasukan khas siasatan 1MDB
Hampir tiga tahun selepas meninggalkan jawatan Peguam Negara, Abdul Gani kembali memainkan peranan dalam siasatan berkaitan 1MDB.
Pada 21 Mei 2018, susulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan pasukan khas siasatan 1MDB.
Pasukan itu diketuai bersama oleh Allahyarham, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Datuk Abdul Hamid Bador.
9. Meneruskan khidmat dalam bidang perundangan selepas bersara
Persaraan daripada perkhidmatan awam pada 6 Oktober 2015 tidak menoktahkan perjalanan Abdul Gani dalam bidang perundangan.
Pada 23 Disember 2016, Allahyarham diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut menyumbang kepakaran dalam dunia akademik sebagai profesor adjung di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), selain pernah mempengerusikan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Kini, perjalanan lebih tiga dekad itu menjadi sebahagian daripada catatan sejarah perundangan negara.