KUCHING: Pengumuman Pakatan Harapan (PH) Sarawak dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak nanti dianggap bukan ancaman kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sebaliknya kata Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof ia adalah hak demokrasi setiap parti politik untuk bertanding.

“Ia hak mereka dan apa yang pasti kita GPS juga akan bertanding di 82 kerusi.

“Kita telah membuktikan kita adalah sebuah parti yang telah memberi khidmat kepada rakyat Sarawak menerusi pelbagai strategi (dasar) yang telah disusun dan dilaksanakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya ketika ditemui media selepas melawat mangsa kebakaran di Kampung No. 6 di Kuching pada Ahad.

Kata Ketua Whip GPS itu, rakyat perlu bijak dalam membuat keputusan termasuk menilai pengalaman 22 bulan semasa pemerintahan PH dahulu yang harus dijadikan pengajaran.

“Saya yakin rakyat Sarawak dapat menilai, 22 bulan PH memerintah di Malaysia dulu, apakah mereka dapat menunaikan janji di bawah manifesto.

“Rakyat Sarawak ingat apa yang telah mereka laksanakan, berapa banyak projek yang telah mereka batalkan,” katanya.

Bagi PSB pula, Fadillah mengingatkan rakyat Sarawak ia turut diwakili oleh bekas menteri PH yang berpaling tadah dan menyokong parti tempatan itu.

“Untuk PSB pun saya kira kita tahu apa yang ada di dalam PSB termasuk siapa yang mewakili mereka sebab sebahagian dulu dalam PH pun ada.

“Jadi kita jangan bagi harapan penuh lah kepada parti selain daripada GPS,” katanya.