KAPIT: Calon bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Nicholas Kudi Jantai menyatakan bahawa dia perlu memenangi seterusnya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.

Beliau yang merupakan anak buah kepada bekas penyandang, mendiang Tan Sri James Jemut Masing berkata, kemenangan ini penting bagi meneruskan agenda pembangunan di Baleh.

“Memang saya merasakan kemenangan itu harus di pihak GPS demi menyambung kelestarian pembangunan yang ada.

“Kita akan meneruskan pembangunan bila kita berada di dalam kerajaan yang stabil di bawah acuan parti di Sarawak sendiri,” katanya.

Nicholas ditemui media selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN Baleh di SMK Kapit No.2 pada Isnin.

Selain itu tambahnya, saingan kali ini diakui lebih mencabar dengan pertembungan empat penjuru.

BACA: PRN Sarawak: Pertandingan empat penjuru rebut kerusi DUN Baleh

Bagaimanapun dia mesti terus fokus membawa kemenangan pada masa sama tidak sesekali memandang rendah akan kemampuan calon lain.

“Kali ini masing-masing ada calon yang berkaliber dan dipercayai oleh parti masing-masing tapi fokus utama saya oleh kerana saya calon GPS, saya fokus untuk mempertahankan kerajaan negeri di bawah naungan GPS.

“Namun tidak sesekali saya tmemandang rendah ataupun memandang serong kepada calon-calon yang bertanding,” tambahnya.

Kerusi DUN Baleh menyaksikan pertembungan empat penjuru dalam saingan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) kali ini.

Ia melibatkan tiga calon lain termasuk calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Koh Kumbong, Kenneth Usang George (DAP) dan Irwan Iskandar Sukarno Abdullah dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Kerusi DUN Baleh sebelum ini disandang oleh mendiang Masing selama lapan penggal bermula pada 1983.

Pada PRN11 yang lalu, mendiang berjaya memperkukuhkan kedudukannya di sana apabila meraih majoriti mudah 4,843 ke atas calon DAP, Agop Linsong yang sekadar meraih 454 undi.