SEREMBAN: Sokongan pengundi Melayu di Negeri Sembilan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menunjukkan peningkatan lebih 50 peratus berdasarkan kajian dilakukan oleh PH.

Pengerusi PH negeri Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sokongan berkenaan sentiasa meningkat terutamanya pada dua hari lepas berbanding April lepas hasil keberkesanan pendekatan dijalankan calon serta jentera parti dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

"Sokongan Melayu ada peningkatan mungkin disebabkan makluman dan penerangan dilakukan. Saya yakin bahawa orang Melayu akan bersama PH dan BN, Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pengundian awal di Balai Polis Sikamat di sini hari ini.

Aminuddin berkata PH dan BN tetap memberi tumpuan kepada pengundi Cina dan India yang jumlah mereka agak ramai di negeri itu.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 864,425 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN di negeri ini.

Seramai 83 calon daripada PH, BN, Perikatan Nasional, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Bebas bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.

SPR menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal hari ini.

-- BERNAMA