BERTAM: Usaha untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) antara fokus utama bagi calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Khaliq Mehtab di Bertam.

Meskipun Bertam merupakan kawasan bandar, beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata, terdapat beberapa kawasan yang mempunyai banyak pengusaha PMKS.

“Saya mahu naikkan taraf usahawan-usahawan PMKS di Bertam kerana masih ramai yang perlukan bantuan dan insya-Allah kalau diberikan peluang sekali lagi, ini perkara yang akan jadi penelitian," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata, selain itu, pembangunan anak muda juga antara agenda dalam tawaran calon PN Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang berkenaan.

Ujar Khaliq, pembangunan anak muda telah mula digerakkan sejak beliau menyandang jawatan ADUN di kawasan berkenaan.

“Kita perlu beri penekanan untuk anak muda dalam pelbagai aspek bentuk antaranya dari aspek kebajikan, kehidupan sosial termasuk juga peluang pekerjaan.

“Kita tidak hanya tumpu kepada isu setempat, aspek kebajikan secara menyeluruh buat masyarakat di Bertam ini juga perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pertembungan satu lawan satu melibatkan pesaingnya yang mewakili BN, beliau sedar sedang berhadapan dengan figura yang besar namun beliau tidak menganggap itu satu kekangan yang besar.

Sebaliknya, pertemuan dengan Datuk Seri Reezal Merican itu disifatkan sebagai satu cabaran yang amat positif serta motivasi buat dirinya sendiri.

Meskipun baru berkhidmat selama sepenggal di Bertam, beliau yakin pengundi mampu menilai apa yang telah beliau usahakan selama ini.

“Sebagai penyandang memang ada kelebihan kerana orang di sini (Bertam) pun dah kenal saya dan bukan satu nama yang asing bagi mereka dan saya telah kenal pasti isu-isu setempat jadi bukanlah muka baharu,” jelasnya lagi.

Beliau sebelum ini menang di kerusi berkenaan pada PRU14 lalu atas tiket PKR sebelum membuat keputusan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini bernaung di bawah PN.