SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan bersedia untuk mengemukakan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, selepas MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, bagaimanapun berkata perkara itu perlu dibincangkan bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum sebarang keputusan dibuat.

"UMNO bersedia menghantar calon dalam kalangan pimpinan UMNO jika ia dipersetujui Presiden dan pimpinan BN. Kita ada beberapa calon yang bakal dipertaruhkan di Jeram Padang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dengan kepimpinan Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Hinglands Datuk Ramli Mohd Nor.

DUN Jeram Padang kini disandang Pengerusi MIC negeri Datuk L. Manickam.

Sebelum ini, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu bulan hadapan, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Jalaluddin berkata pengumuman calon BN itu nanti, akan dilakukan lebih awal dan barisan pemimpin yang bertanding kesemuanya berwibawa dan sedia berkhidmat untuk rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi DUN menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menguasai 20 kerusi dengan DAP (11), PKR (6), Amanah (3) manakala BN 16 kerusi (UMNO-15 dan MIC-1).

-- BERNAMA