KUCHING: Kerajaan Sarawak menyerahkan sepenuhnya keputusan untuk kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi pelaksanaan darurat di negeri itu atau memutuskan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) diadakan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebarang keputusan akan diketahui selepas tempoh darurat berakhir, 1 Ogos ini.

"Saya tidak tahu mengenai (meneruskan) darurat kerana keputusan itu di bawah Yang di-Pertuan Agong, dan hari ini kita masih dalam tempoh darurat. Sama ada diadakan atau tidak darurat, kita sama-sama tunggu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI) di Kuching pada Selasa.

Semalam, Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen agar Proklamasi Darurat diteruskan di Sarawak memandangkan penularan jangkitan COVID-19 masih ada selain kehadiran varian Delta di negeri itu.

Selain itu, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menegaskan Sarawak memerlukan mandat baharu dalam menentukan pentadbiran untuk tempoh lima tahun sekali gus melaksanakan dasar yang telah dibuat. 

“Dalam tempoh 60 hari selepas darurat ditamatkan, kita akan memastikan terlebih dahulu situasi semasa kesihatan kita kondusif dan bertambah baik. Kita tidak mahu rakyat yang turun mengundi dalam keadaan takut, dan akhirnya mereka tidak mahu mengundi, ini yang paling penting,” katanya.

Abang Johari berkata, tiga perkara utama akan diteliti kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum memutuskan tarikah PRN12.

Menurutnya, perkara pertama yang akan diteliti ialah situasi semasa COVID-19 di negeri itu sama ada ia semakin pulih atau memburuk.

"Perkara kedua, kita perlu menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mempersiapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk PRN12 dengan mengambil kira situasi pandemik.

"Manakala perkara ketiga, kita perlu menilai pertimbangan strategik antara pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan SPR untuk menentukan status pandemik di Sarawak dengan keupayaan negeri ini melaksanakan PRN,” katanya.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Ekoran itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.