Skip to main content

Politik

PRU Johor: Populariti Onn Hafiz lebih dua kali ganda Anwar - ILHAM Centre

Onn Hafiz & Anwar_BERNAMA
Analisis berkenaan dijalankan menerusi kajian lapangan membabitkan 1,250 responden yang mewakili pelbagai segmen pengundi di seluruh Johor.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kadar populariti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, didapati hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dapatan kajian ILHAM Centre menunjukkan Onn Hafiz memperoleh kadar populariti 79 peratus dalam kalangan responden, berbanding Anwar yang mencatatkan 40 peratus, sekali gus menjadikan beliau aset politik paling penting kepada Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen PRN Johor.

Analisis berkenaan dijalankan menerusi kajian lapangan membabitkan 1,250 responden yang mewakili pelbagai segmen pengundi di seluruh Johor.

Kajian itu turut disokong dengan sembilan sesi Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) melibatkan 76 informan serta temu bual mendalam bersama 18 informan.

Menurut ILHAM Centre, kelebihan Onn Hafiz didorong kecenderungan pengundi yang lebih menilai prestasi kerajaan negeri, keberkesanan pentadbiran serta pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dalam konteks pilihan raya negeri.

BN juga dilihat berjaya membina naratif kempen berasaskan kesinambungan pentadbiran, kestabilan politik dan rekod prestasi Onn Hafiz, termasuk pelaksanaan projek pembangunan seperti Sistem Transit Rapid (RTS), pembangunan pusat data, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta pelbagai inisiatif bantuan kerajaan negeri.

Sebaliknya, kajian itu mendapati Pakatan Harapan (PH) terlalu bergantung kepada pengaruh Perdana Menteri bagi menggerakkan kempen, namun pendekatan berkenaan gagal diterjemahkan kepada peningkatan sokongan yang ketara.

ILHAM Centre berkata, PH juga berdepan kesukaran membina naratif yang berkesan dalam konteks pilihan raya negeri apabila banyak bergantung kepada isu nasional dan pencapaian kerajaan Persekutuan.

Kajian itu turut mendapati pengundi lebih mengutamakan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, kesesakan lalu lintas dan mobiliti harian ke Singapura berbanding polemik politik atau perdebatan di media sosial.

Sehubungan itu, ILHAM Centre menyimpulkan bahawa dalam konteks PRN Johor, kredibiliti dan prestasi kepimpinan di peringkat negeri menjadi faktor yang lebih dominan dalam mempengaruhi kecenderungan pengundi berbanding pengaruh pemimpin di peringkat nasional.

Must Watch Video

Advertisement