Tidak lagi mahu dilabel sebagai parti yang hanya memperjuangkan suara majoriti Cina, DAP Sabah kini sedang berusaha meluaskan pengaruhnya di kawasan pedalaman yang terdiri daripada majoriti masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) di negeri itu.

Menurut Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong, dua kerusi dipertaruhkan di kawasan KDM dalam PRU14 kali ini, dan sekiranya menang, ia bakal menjadi menjadi pilihan raya umum bersejarah bagi DAP di negeri itu.

Kerusi yang diintai adalah kerusi Parlimen Tenom dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor.

"Sebelum ini, kami hanya tertumpu di kawasan bandar. Bagi PRU ini kami lebih terarah kepada dua kerusi KDM ini. Kami telah melakukan persiapan dan menabur khidmat sejak empat tahun lalu menerusi Projek Impian Sabah," katanya.

Stephen percaya dengan kerjasama rakan seteru iaitu Parti Warisan Sabah, peluang itu kelihatan lebih cerah.

"Dengan kerjasama bersama Warisan kita punya lebih peluang dan kami menjangkakan jika kami menang di dua kerusi ini, ia adalah satu 'breakthrough' untuk DAP meraih sokongan pengundi KDM. Jadi ini amat penting buat kami," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Pada pilihan raya umum yang lalu, DAP cuba meletakkan calon bertanding di kerusi KDM sebagai 'eksperimen' iaitu di DUN Melalap hanya meraih sejumlah 1,992 undi.

Calon DAP ketika itu, Noorita Sual, kalah kepada calon BN Radin Malleh yang mendapat sebanyak 4,643 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Di Melalap, hanya 19 peratus pengundi Cina, selebihnya masyarakat KDM.