Pas berpandangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat sebagai platform demokrasi terbaik bagi menyelesaikan tuntutan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rakyat kini memilih pilihan raya sebagai jalan penyelesaian terbaik dan bukan menjatuhkan Najib dengan cara yang tidak demokratik.

"Kita mahu pilihan raya. Kita tidak mahu jatuhkan PM (Perdana Menteri) dengan cara yang tidak demokratik. Tetapi, kalau PM mahu letak jawatan. kami menyambut baik.

"Kalau kerajaan berani, buatlah pilihan raya lebih cepat kerana itu yang rakyat mahukan," katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen Ketiga belas di bangunan Parlimen, hari ini.

Jelasnya, secara umum rakyat mahu kerajaan diubah, namun prinsip demokrasi yang diamalkan selama ini menjadikan Pas memilih pilihan raya.

"Kita tahu pihak kerajaan yakin mereka telah diberi mandat. Keadaan ini mengelirukan, pihak kerajaan kata ada mandat dan sebelah pihak yang lain menyifatkan mandat sudah tidak dilaksanakan lagi.

"Saranan kita adil, adakan pilihan raya lebih cepat, kerana rakyat berhak menuntutnya," ujarnya.

Ketika mengulas Deklarasi Rakyat, Nik Abduh berkata, beliau secara peribadi tidak akan menandatangani deklarasi tersebut dan Pas juga telah menyatakan pendirian tidak akan bersama.

"Kita telah membuat keputusan dan Pas tetap dengan pendirian bahawa perubahan hendaklah melalui rakyat. Oleh yang demikian, kita berharap agar kerajaan lebih bertanggungjawab," ujarnya.

Bukan itu sahaja, Nik Abduh menjelaskan, UMNO kini tidak lagi mewakili suara rakyat.

"Kita tidak mahu UMNO, kita sebuah parti yang membawa inspirasi rakyat dan kehendak rakyat. bagi kami sebagai pembangkang UMNO tidak mewakili rakyat," katanya.