PULAU PINANG : Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim dijangka bakal dipilih Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Perkara itu disahkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kepada Astro AWANI.

"Apa yang saya boleh sahkan Adam akan bertanding di Pulau Pinang," katanya selepas Majlis Makan Malam PKR Pulau Pinang, di sini malam Sabtu.

Sebelum ini, tular spekulasi mendakwa bahawa Adam Adli yang terkenal sebagai aktivis sosial itu akan bertanding di Parlimen Nibong Tebal.

Desas-desus itu bagaimanapun akan terjawab dalam tempoh kurang dari dua minggu.

Jika benar bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu bertanding di Nibong Tebal, maka Nibong Tebal bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mansor Othman dari Bersatu dan calon Barisan Nasional (BN).

Mansor yang menang di Parlimen Nibong atas tiket PKR pada PRU14 bagaimanapun mengisytiharkan dirinya keluar parti dan PH bagi membentuk 'gagasan' baharu bersama 10 ahli Parlimen yang lain termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).

Kemelut itu membawa kepada Langkah Sheraton yang akhirnya mengakhiri episod pentadbiran PH pada PRU14.

Adam Adli sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas disabitkan kesalahan hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah, pada Mei 2013.

Pun begitu, pada  2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengketepikan hukuman penjara sebaliknya menggantikan hukuman itu dengan mengenakan denda sebanyak RM5,000.