SEREMBAN: Watikah pelantikan yang diterima oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan dan Aahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli hari ini akhirnya menjawab persoalan yang berlegar apabila masing-masing akan mewakili Barisan Nasional BN bagi Parlimen Kuala Pilah dan Jempol.

Watikah pelantikan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis yang diadakan di Wisma UMNO di sini, hari ini.

Bagi calon Jempol, Shamshulkahar, keputusan parti dengan melantiknya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan BN akan terus kekal di kerusi berkenaan.

Mengakui berlaku sedikit kemelut dalam pemilihannya bagi PRU15, namun beliau percaya dan yakin sokongan akan diberikan kepadanya untuk sekali lagi memastikan kemenangan BN.

“Saya yakin semangat jati diri, daya juang dan semangat kesetiaan ahli-ahli UMNO di bahagian Jempol dan barisan komponen. Saya percaya selepas sahaja selesai penamaan calon nanti mereka akan bersatu.

“Itulah rekod di Jempol sejak dulu sampai hari ini. Saya amat yakin ia akan diteruskan," katanya ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Watikah kepada calon-calon BN Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah dan Jempol menimbulkan persoalan selepas ia tidak disebut oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN bagi PRU15 beberapa hari lalu.