SELANGAU: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Sarawak hari ini membayangkan kedua-dua pucuk kepimpinan itu selesa untuk membentuk kerjasama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, Naib Presiden UMNO itu berkata, ketika ini, Barisan Nasional (BN) sedang ‘berdating’ atau dalam erti kata lain sedang bercinta sebelum melangsungkan majlis perkahwinan.

“Kami sedang berdating (menjalinkan percintaan),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Selangau WPC08, di sini, pada Isnin. 

Kenyataan Ismail Sabri itu sebagai membalas analogi Abang Johari sebelum ini membayangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai wanita cantik yang sedang dilamar oleh ramai lelaki (pakatan politik di Semenanjung).

“Sekarang ini kita lagi syok-syok sendiri, ini kami sedang ‘bergerek’ (sedang bercinta) tidak lama lagi akad nikahlah,” katanya bagi mengulas pertanyaan media adakah  Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menerima lamaran BN untuk bekerjasma selepas PRU15.

Selepas PRU14, kerajaan negeri Sarawak telah memutuskan untuk tidak menjalinkan apa-apa ikatan dengan pakatan politik di Semenanjung dan membantuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Semasa pertukaran kerajaan, GPS telah dua kali menjadi ‘king maker’ bagi menentukan Perdana Menteri Malaysia iaitu pada zaman pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN) sekali gus membentuk kerajaan baharu.

PRU15 kali ini menyaksikan GPS bertanding di semua 31 kerusi Parlimen negeri dengan 20 kerusi disandang oleh calon parti itu.